Published on Berita Harian, August 5, 2025
Mulai tahun hadapan, pengunjung melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak lagi akan berbaris panjang di kaunter imigresen, sebaliknya pintu biometrik automatik akan mengimbas wajah, iris dan cap jari dalam beberapa saat sahaja.
Inisiatif ini ialah fasa pertama Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang bakal menghubungkan 264 lokasi pemeriksaan dan 40 agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga INTERPOL.
Kecanggihan sistem teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) ini memberi nafas baharu kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan imigresen.
Di sebalik keterujaan, teknologi baharu ini bernilai RM892 juta dengan tempoh pelaksanaan hingga 2029. Jadual pelaksanaan distruktur secara berfasa juga memberikan penanda aras jelas dalam meminimumkan risiko projek tergendala. Kedua-dua aspek ini secara langsung memberi cerminan tawaran pelaburan menarik.
Pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedang melaksanakan pembaharuan platform bernilai RM133.7 juta merangkumi penyediaan perkakasan, perisian dan reka bentuk semula keseluruhan sistem dalam tempoh 36 bulan.
Pengurusan data lesen memandu dan pendaftaran kenderaan mungkin dilihat rutin dan remeh, tetapi apabila berjaya disepadukan, pihak penguat kuasa berupaya meningkatkan keupayaan dalaman seperti pengesanan penipuan dan penjimatan masa pemprosesan. Malah, kos naik taraf pada masa akan datang juga boleh dikurangkan.
Kementerian Pengangkutan melaporkan di Parlimen pada Mac lalu, fasa pertama sudah selesai mengikut jadual dengan kadar ketersediaan sistem melebihi 99 peratus, suatu kadar cukup menggambarkan keefisienan penambahbaikan dijalankan.
Sementara itu, di sektor tenaga juga turut memperlihatkan penambahbaikan setara. Satu kontrak perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM2.39 bilion untuk program Skim Hidroelektrik Sungai Perak dianugerahkan, Februari lalu.
Projek ini bertujuan memodenkan dan memanjangkan hayat tiga stesen utama, iaitu Temengor, Bersia dan Kenering. Melalui projek ini, output tahunan dijangka akan meningkat sehingga 15 peratus serta memenuhi permintaan domestik.
Apabila siap, projek ini menyumbang terus kepada sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dengan memperkukuh tenaga boleh baharu dalam campuran penjanaan dan mengurangkan kebergantungan grid kepada bahan api fosil.
Di sebalik ketiga-tiga inisiatif berskala nasional ini, sebuah syarikat tempatan dahulu lebih sinonim sebagai penyelenggara sistem kerajaan, iaitu HeiTech Padu Berhad.
Transformasi pengurusan
Selepas hampir tiga dekad beroperasi, firma gergasi ini menjalani transformasi pengurusan dengan mandat lebih praktikal, iaitu menstabilkan operasi harian, memulihkan keyakinan pelanggan dan pelabur serta menjadikan data dan aliran tunai sebagai penanda kemajuan.
Indikator ini menunjukkan disiplin korporat sedang diperketatkan. Petanda awal adalah memberangsangkan.
HeiTech Padu menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) berupaya memperkenal peluang baharu teknologi tempatan, satu bersama Huawei Technologies Malaysia dan MyEG Services, manakala kedua adalah bersama Maiyue Technology Ltd (MTL), syarikat tersenarai di Hong Kong, untuk membentuk kerjasama strategik dalam perkhidmatan awan kuasa pengkomputeran AI.
Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang bagi meneroka peluang pendapatan baharu, malah memperkukuh reputasi syarikat sebagai pemain teknologi berskala nasional.
Buku pesanan turut dilaporkan meningkat ke belasan peratus sejak April lalu, walaupun kos perkakasan global masih tinggi. Ini memberi isyarat permintaan terhadap kepakaran tempatan masih stabil.
Isyarat di papan dagangan mengesahkan sentimen positif terhadap syarikat ini. Harga saham HeiTech melonjak ke RM4.40 dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman NIISe, dua kali ganda daripada paras pertengahan 2024, sebelum kembali stabil di sekitar RM3.30.
Untung suku pertama pula mencecah sembilan sen sesaham, iaitu tertinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain itu, empat pengurus aset domestik dan dua dana patuh syariah sudah menyertai senarai pemegang saham utama memberi petunjuk bahawa institusi kewangan mempercayai disiplin baharu syarikat ini.
Terbaharu, Bursa Malaysia turut mengumumkan bahawa anak syarikat miliknya, Domainedge Sdn Bhd memperoleh kelulusan Feed-in Tariff daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia untuk membangunkan loji mini hidro 2.85MW di Sungai La, Terengganu. Ini juga bakal menambah aliran pendapatan boleh baharu apabila beroperasi kelak.
Bagaimanapun, risiko tetap wujud. Negara masih mengalami kekurangan pakar keselamatan siber tempatan, hubungan dagangan antarabangsa juga masih dilihat belum jelas, malah sebarang perubahan dari segi tampuk kepemimpinan negara dan landskap politik sentiasa berpotensi merombak keutamaan kerajaan dalam pelaksanaan kontrak.
Syarikat pula perlu patuh kepada jadual pelaksanaan yang perlu disempurnakan tepat pada waktunya bagi memastikan nisbah hutang kekal selesa.
Melalui disiplin ini, sebarang lonjakan kos yang boleh mengecilkan keuntungan dapat dikawal. Semua faktor ini memerlukan pengawasan ketat serta masa tindak balas pengurusan pantas agar momentum syarikat tidak terjejas. Pelabur kini berhadapan dengan pertimbangan yang jelas.
Syarikat yang berusia tiga dekad ini sedang memperkasa disiplin korporat dengan memperlihatkan tadbir urus lebih baik serta berjaya memperoleh kontrak jangka panjang selari dengan keutamaan semasa negara.
Ketika ini, HeiTech berjaya menarik perhatian. Walaupun harga sesahamnya tidak lagi pada harga rendah, ia masih berpotensi untuk diniagakan pada gandaan lebih tinggi pada masa akan datang.
Natijahnya, kejayaan sesebuah negara diukur bukan sekadar pada visi dasar dilakar atau pelaksanaan pada peringkat kementerian sahaja. Pemain industri tempatan juga berperanan menterjemahkan dasar awam ini kepada bentuk perkhidmatan yang boleh dirasai dan dihargai rakyat.
Gabungan antara sistem awam dirangka dengan teliti dan penyampaian swasta berdisiplin boleh menggerakkan negara ke hadapan, tanpa perlu mengorbankan keuntungan syarikat.
Jika jadual pelaksanaan disempurnakan dengan baik, HeiTech Padu berpeluang muncul sebagai contoh bagaimana syarikat tempatan mampu untuk memikul amanah nasional di samping mencipta nilai jangka masa panjang untuk pemegang saham.
Bagi rakyat Malaysia, pulangan akhir terletak pada ekosistem perkhidmatan awam moden yang memudahkan hidup seharian.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Siber Selamat (CyberSAFE)

Menu